Pages

Pertandingan Pidato Diraja Peringkat Negeri Johor

Oleh         : Nur Lidiana Edyanti Bt Mohd Esa
Sumber    : Pn Haslinda Bt Jantan @ Ali

Pertandingan Pidato Diraja Peringkat Negeri Johor

Pada hari Khamis 26April 2015 telah berlangsung Pertandingan Pidato Diraja sempena Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri Johor di SMK Dato Penggawa Barat Pontian.  Muhamad Khairudin bin Rahimi dari SMK Taman Nusajaya telah mewakili Daerah Johor Bahru dan telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Beliau telah menyampaikan pidato yang bertajuk Pendidikan Alaf 21 Pemangkin  Modal Insan Cemerlang dan Pidato Spontan bertajuk Berjimat Cermat Membawa Berkat. Tahniah dan syabas diucapkan.

Muhamad Khairudin bin Rahimi bersama-sama dengan guru pengiring Pn Haslinda Bt Jantan@ Ali

Muhamad Khairudin bin Rahimi bergambar dengan trofi dan sijil sebagai pemenang tempat ke-3

"Pendidikan Alaf 21 Pemangkin  Modal Insan Cemerlang"

Muhamad Khairudin bin Rahimi bersama dengan sang penyuntik semangat  SMKTNJ, Tn Hj Md Ali Bin Abdullah

Sesi penyampaian hadiah kepada pemenang di Dewan SMK Dato' Penggawa Barat, Pontian, Johor.

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dengan izin daripada penulis , Pn Haslinda Bt Jantan @ Ali, kami kongsikan bersama-sama anda teks ucapan Pidato kepada para pembaca yang dikasihi sekalian.



PENDIDIKAN ALAF 21PEMANGKIN PEMBENTUKAN MODAL INSAN CEMERLANG

Penulis          : Haslinda bintiJantan @ Ali
Pemidato      : Muhamad Khairudin bin Rahimi

SMK TAMAN NUSAJAYA JOHOR BAHRU


“Pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran kepimpinan, profisiensi dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti nasional.” Enam atribut utama diberi penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kepada setiap kanak-kanak di Malaysia agar menjadi insan yang benar-benar dapat menyumbang kepada pembangunan negara secara holistik dan berterusan serta berdaya saing di peringkat global.

Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang berwisi,
Tuan pengerusi majlis yang dihormati,
kombinasi kehakiman yang berintergriti,
seterusnya sidang hadirin yang dikasihi.
Salam sejahtera dan salam perpaduan 1Malaysia.

Berdirinya saya di sini dengan penuh iltizam,ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana malelui mauduk pidato yang berbunyi “Pendidikan Alaf 21pemangkin Pembentukan Modal Insan Cemerlang

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara saya mewartakan dengan lebih jelas pendefinisian Pendidikan Alaf 21. Pendidikan Alaf 21 adalah satu transfomasi pendidikan daripada menghafaz ilmu untuk menjawab peperiksaan  tetapi akhirnya tidak memiliki apa-apa untuk kemajuan diri dan negara,  kepada pendidikan yang memerlukan murid-murid berfikir di luar kotak supaya tidak berterusan terkongkong oleh corak pengajaran, bahan , dan reka bentuk bilik darjah yang bersifat konvensional. Manakala Pemangkin Pembentukan modal Insan pula bermaksud proses mencetus dan melahirkan para pelajar yang boleh membangunkan potensi diri individu, dan dapat memajukan  bangsa, agama dan negara.
Hadirin yang penuh santun,
Pendidikan alaf 21 terbentuk ekoran daripada dapatan kajian keperluan (2011) menunjukkan kemahiran berfikir aras tinggi atau KBAT dalam kalangan guru dan pelajar di Malaysia amat rendah dalam mendepani kehidupan abad 21.  Atas kesedaran inilah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan  telah melancarkan PPPM 2013-2015  sebagai persediaan untuk menyediakan modal insan cemerlang dan generasi penerus negara dalam menghadapi alaf 21.

Hadirin sekalian,

Hijab pidato ini saya buka dengan matlamat pengajaran dan pembelajaran abad  21 yang pertama adalah belajar untuk menguasai ilmu agar menjadi modal insan yang cemerlang. Jika sesorang menguasai ilmu, pasti akan lahir sebuah generasi yang hebat dan mampu bersaing di peringkat global. Menerusi  pendidikan alaf 21 ,guru mengajar dan pelajar belajar  menerusi pelbagai kaedah dan teknik pengajaran yang berpusatkan murid. Sebagai Contoh aktiviti kumpulan dan kerja berpasukan dapat membantu para pelajar mencambah  dan berkongsi ilmu pengetahuan secara menyeluruh  terutama pengetahuan am tentang Malaysia , Asia dan dunia. Aktiviti ini, ditambah dengan menggunakan peta pemikiran yang mampu mendedahkan pelajar dengan soalan-soalan aras tinggi yang mampu melahirkan pelajar yang berkualiti, kreatif dan inovatif .Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki,  generasi muda pastinya boleh mengaplikasikan ilmu yang dipelajari untuk memajukan Negara. Sudah terang lagi bersuluh pendidikan alaf 21,  sudah tentu mampu melahirkan bakal pemimpin yang hebat, berilmu pengetahuan tinggi, selaras dengan era globalisasi. Seorang pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan rakyat sejagat dan negara.


Pendengar yang penuh santun,

Hujah saya yang kedua di bawah lembayung kata  matlamat pengajaran dan pembelajaran abad 21 adalah belajar untuk menguasai kemahiran. Pendidikan alaf 21 menyediakan kemahiran menguasai pelbagai bidang yang bercorak global. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif, Kemahiran kepimpinan, kemahiran dwibahasa dan kemahiran-kemahiran lain. Sebagai contoh, melalui projek dan tugasan yang berasakan kumpulan, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan dapat diterapkan. Aktiviti ini, meningkatkan kemahiran berfikir murid aras tinggi dan berupaya untuk meraka bekerja secara individu atau kumpulan. Kemahiran tersebut ternyata dapat melahirkan generasi muda sebagai tenaga mahir yang mampu menyumbang idea-idea yang bernas dalam penciptaan mereka. Malah berupaya menggunakannya dalam persekitaran kerja. Kemahiran dalam bidang Seni, Muzik dan Sukan pula  amat digalakkan Tuntasnya dengan menguasai pelbagai bidang dan kemahiran pastinya mereka mampu menyumbang kepada ekonomi negara dan meningkatkan imej Negara di mata dunia agar Malaysia mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.


Hadirin sekalian,

Beralih kita kepada hujah saya yang terakhir, iaitu matlamat pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 adalah belajar untuk harmoni dan bekerjasama. Matlamat ini dapat dikaitkan dengan ciri identiti nasional yang mesti dikuasai oleh pelajar. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara berkumpulaan dengan memasukkan elemen Didik Hibur mampu membentuk interaksi dengan individu daripada semua latar belakang secara harmoni , bekerjasama dan saling menghormati. Murid akan diminta melakukan yang terbaik dan bekerjasama dengan guru untuk mengurangkan kelakuan yang mengganggu di dalam bilik darjah. Semua murid akan mempunyai tanggungjawab bersama bagi membantu menjadikan sekolah tempat yang selamat dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran. Pastinya matlamat tersebut dapat diaplikasikan oleh generasi muda dengan menghormati kaum lain, dan saling bekerjasama bagai aur dengan tebing terhadap masyarakat. Deduksinya, pendidikan alaf 21 semestinya mampu menjana modal insan cemerlang yang bersifat saling menolong,cinta akan keamanan, dan sayang  akan negara .


Hadirin yang berwisi,
Sebelum kata mengunci bicara, sebelum langkah mengundur pergi,ingin saya simpulkan pidato saya bahawa  pendidikan alaf 21 sememangnya mampu melahirkan modal insan yang cemerlang, generasi muda yang berkualiti, bervisi serta berjaya melonjakkan nama negara  ke persada dunia.

Saya yakin dan percaya dengan izin Tuhan jika enam ciri utama dan matlamat pendidikan alaf 21 diaplikasikan secara berkesan dalam sistem pendidikan negara modal insan cemerlang dan manusia yang bertaraf dunia di negara kita akan dapat dilahirkan. Seterusnya dapat menyumbang  kepada keharmonian masyarakat, kemajuan negara dan hidup di bawah Slogan 1 Malaysia .

Sekian terima kasih, pemuda harapan bangsa mohon permisi.



               

Unknown

Phasellus facilisis convallis metus, ut imperdiet augue auctor nec. Duis at velit id augue lobortis porta. Sed varius, enim accumsan aliquam tincidunt, tortor urna vulputate quam, eget finibus urna est in augue.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan